Total Pageviews

Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts

Wednesday, December 25, 2013

KUASA SEBENAR : ANTARA MAGIS DAN 

KASIH SAYANG

“Tapi Abi, magic lagi hebat” Saiful Islam berdebat dengan saya.
Tetap mahu membuktikan kuasa ILMU bukan kuasa yang diimpikannya.
“Kenapa pula?” saya bertanya.
“Ye la, dengan magic, kita boleh tukar dapat apa yang kita nak” hujahnya.
“Yop memang percaya magic tu wujud ke?” saya mahukan kepastian.
“Takde la. Saja je!” katanya.
Ketawa kecil.
Petang itu kami berbalas debat. Sebagai bapa, ada juga rasa sakit hati apabila hujah kita dinafikan oleh anak. Tetapi jika anak sudah dibiasakan berapa berpendapat dan mempertahankan pendapat, ibu bapa perlulah kuat semangat untuk mengendalikan ‘sesi latihan’ di rumah.
Tumpaskan ego.
Tingkatkan kesungguhan, mahu anak-anak berani berpendapat.
“Okay, Yop ingat tak cerita raja yang ada magic tu? Yang boleh tukar barang jadi emas” saya bertanya.
“Raja apa ya?” anak saya ingat-ingat lupa.
“Raja Midas. King Midas!” saya mengingatkannya.
“Hah, Yop ingat dah. Raja itu apabila dia sentuh barang, terus barang tu bertukar jadi emas. Sampai anak dia pun jadi emas” Saiful Islam menceritakan kembali apa yang beliau ingat tentang cerita ini.
“Hah, itulah contohnya. Kalau sentuh anak dengan magic, anak jadi ketulan emas. Dan emas ketika itu tidak berguna. Tapi kalau sentuh anak dengan kasih sayang, anak lebih berharga daripada emas. Betul tak?” saya menyudahkan kisah.
“Kuasa kasih sayang” Saif menyebut perlahan.
Seperti ada rasa kekok menyebutnya.
Saya juga kekok mendengarnya.
Menyebutnya di dalam ceramah tidak kekok. Menyebutnya dalam kondiri keluarga sendiri, baru teori benar-benar teruji. Rasa kekok itu jika dibiarkan, akan terus menjadi kekok dan menjauhkan diri daripada mencapai hajat. Ia perlu diatasi.
“Maknanya Yop, magic kalah dengan ilmu. Magic juga kalah dengan kasih sayang. Keputusan akhirnya, yang magic dalam hidup ini ialah ilmu dan kasih sayang” saya membuat rumusan.
“Macam mana tu?” tanya Saif.
“Ingat tak Abi pernah cerita kisah Da’thur bin al-Haris? Orang jahat, jumpa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tengah berehat. Da’thur ambil pedang dan hulur ke tengkuk Rasulullah dan ugut dengan katanya “siapa yang boleh menyelamatkan kamu?” Ingat tak?” saya memetik kisah berkenaan.
“Lepas tu apa ye?” anak saya menyambung pertanyaan.
“Baginda menjawab: ALLAH! Da’thur terkejut dan pedang di tangannya terlepas. Rasulullah ambil pedang tu dan hunus kepada Da’thur dan tanya: siapa yang boleh menyelamatkan kamu? Da’thur takut dan yakin dia akan dihukum. Tetapi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam maafkan. Sebab Baginda pengasih. Pemaaf!” saya berceloteh.
“Lepas tu?” anak saya seperti tidak ingat langsung cerita yang pernah dikisahkan sebelum ini.
“Kalau Rasulullah hukum, memang Da’thur patut dihukum. Tetapi apabila Rasulullah maafkan sebab baginda gunakan kuasa kasih sayang, berlakulah magic. Musuh bertukar jadi kawan!” saya menyudahkan rumusan.

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

 Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41: 34]
Jika Da’thur dihukum, musuh mati, kawan tidak bertambah.
Jika Da’thur dimaafkan, musuh ‘mati’ kawan bertambah.
Itulah kuasa memaafkan. Sesuatu yang hanya boleh berlaku dengan adanya sifat kasih sayang. Keupayaan untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Manusia sendiri pun ramai yang bertaubat apabila kejahatan demi kejahatan yang dilakukannya, akhirnya mereka tersedar yang Allah masih membalas kejahatan mereka, dengan KEBAIKAN!
Anak saya termenung.
Perbualan kami terhenti.
Sama seperti kursus-kursus motivasi yang saya jalankan, menilai keberkesanan bukan melalui tangisan. Apa yang lebih utama adalah mendidik nilai yang betul, dan melaluinya persoalan jadi jelas, dan jalan menemukan jawapan terbuka luas.
Persoalan kehidupan.
Di akhir zaman, di era fitnah Dajjal ini, AGAMA mesti dicerakinkan kepada ritual amali, dan konseptual nilai di dalam diri.
TUJUH BUAH FIKIRAN
  1. Kasih sayang adalah manifestasi sifat RAHMAN dan RAHIM Allah yang paling kerap diulang kerana Allah SWT mahu Diri-Nya lebih dikenali dan diingati oleh para hamba sebagai Tuhan yang Mengasihi, lebih daripada Menghukum dan Membinasa.
  2. Kaedah penceritaan amat berguna lagi berkesan dalam menerangkan konsep-konsep yang rumit kepada pelbagai lapisan sasaran, terutamanya kanak-kanak.
  3. Sampaikan cerita dengan menggunakan ayat yang pendek-pendek, berselang seli antara kita yang menyampaikan, dengan sasaran yang mendengar.
  4. Kisah-kisah seperti Raja Midas adalah alegori yang diceritakan untuk menyampaikan mesej nilai. Ibu bapa perlu membaca cerita ini secara tersurat lagi tersirat.
  5. Ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahu mendidik anak-anak secara ini, perlu meluangkan masa membaca kembali kisah-kisah rakyat, koleksi Aesop, juga kisah-kisah yang terdapat di dalam rujukan Islam terutamanya al-Quran dan al-Sunnah untuk memperbanyakkan modal bercerita.
  6. Dari semasa ke semasa, proses ini memerlukan ibu bapa untuk bersabar memperuntukkan masa, secara yang tidak formal, untuk melaksanakan projek ini.
  7. Adakalanya, proses bercerita ini menimbulkan rasa kekok sama ada kepada ibu bapa, mahu pun anak-anak. Rasa kekok itu perlu diatasi bukan dengan memberhentikan perbualan, tetapi meneruskannya dengan melawan rasa tidak selesa yang hinggap di dalam fikiran dan perasaan. Sekali lagi, komunikasi yang efektif adalah fondisi terbesar proses pendidikan.
- See more at: http://saifulislam.com/2012/11/kuasa-sebenar-antara-magis-dan-kasih-sayang/#sthash.bmNFMroJ.dpuf

Monday, December 23, 2013

BAGAIMANA UNTUK MENJADIKAN KEHIDUPAN INI SELURUHNYA UNTUK AKHIRAT?

Allah menyebut dalam al-Quran dalam banyak tempat bahawa Dia menjadikan malam itu untuk manusia berehat dan tidur dan waktu siang dijadikan untuk manusia mencari kelebihan-kelebihan yang dikurniakan oleh Allah. Antaranya dalam surah al-Isra’ ayat 12 dan surah al-Jum’ah ayat 9 Allah memberitahu selepas ditunaikan solat Jumaat itu maka bertebarlah kamu di atas muka bumi mencari rezeki yang disediakan oleh Allah dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya. Begitu juga dalam surah al-Naba’ ayat 9 – 11, Allah menyebut yang maksudnya Dia telah menjadikan tidur itu sebagai kerehatan untuk badan kita, malam itu sebagai ‘pakaian’ yang melindungi kita dan siang itu masa untuk mencari rezeki.
Malam itu selain untuk berehat, menenangkan diri dan ‘slow down’ dari kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang maksudnya sesungguhnya ibadah pada saat-saat waktu malam itu  lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus bacaan kita. Digalakkan beribadah pada waktu malam itu kerana pada siang harinya manusia itu banyak urusan dan kesibukan yang memanjang.
Dari ayat-ayat yang dibawakan di atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah pembahagian masa bagi seorang Muslim itu.
Dan timbul lagi satu persoalan, bagaimana untuk pastikan pada waktu siangnya itu kita banyak mengingati Allah dan tidak hanyut dengan arus duniawi? Perancangan :

-  Mendirikan solat dengan penuh kekuatan serta menjaga tata-tertibnya. Jadikan solat itu sebagai masa untuk mengingati Allah seperti yang disebut dalam surah Taha ayat 14, mengambil nasihat dan pengajaran dari Kalam Allah yang dibaca padanya, mendatangkan kembali rasa takut kepada Allah dan meletakkan urusan dunia (anak, rumah, makanan dan lain-lain) jauh dari hati kita buat seketika.
-  Selain mengkhususkan malam sebagai waktu ibadah, ambil juga satu portion dari waktu siang untuk membaca al-Quran.
-  Sentiasa menyedari bahawa tujuan penciptaan manusia itu adalah untuk beribadah kepada Allah dan jangan biarkan dunia melalaikan kita dari tujuan asal tersebut,
-  Sentiasa look forward masa untuk solat dan membaca al-Quran. Seperti yang disebut dalam hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam antara golongan yang dilindungi Allah ketika di padang Mahsyar nanti adalah lelaki yang HATInya sentiasa terikat dengan masjid. Begitu juga dengan wanita, jika tidak dengan masjid sekali pun, ia sentiasa menanti-nanti masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan solat malam.
-  Banyakkan mengingati mati dan kejadian-kejadian hari kiamat, supaya rasa takut tetap ada walau ketika menjalani kehidupan harian.
-  Memperbanyakkan zikir.
-  Jangan biarkan diri dalam mode ‘auto-pilot’. Kena banyak berhenti seketika dalam kesibukan melakukan tugasan harian dan nilai niat, perkataan dan perbuatan kita.
-  Banyakkan menyebut-nyebut mengenai pengajaran dari al-Quran dengan suami, anak-anak dan kawan-kawan. Jadikan ia budaya kita.
-  Bawa reflection kita akan satu-satu ayat al-Quran yang kita tadabbur itu ‘ke mana-mana’ kita pergi dan pastikan ia memberi kesan kepada jiwa kita.
-  Pastikan tugasan kita di siang hari itu adalah sesuatu yang syar’ie dan ada manfaat untuk akhirat kelak.
-  Susun betul-betul apa yang hendak dilakukan supaya setiap pekerjaan itu ada pahala dan tidak sia-sia.
-   Kurangkan atau jangan tengok TV, dengar muzik  atau main game. Sebaliknya pilihlah hiburan yang lebih syar’ie; beriadah, berkelah dengan keluarga, ziarah kawan atau saudara mara, berbasikal, mendaki bukit dan sebagainya. Hiburkan diri dengan benda yang real dan ada manfaat untuk diri sendiri mahupun masyarakat. Masa itu terlalu berharga untuk disia-siakan begitu sahaja.
- Ambil peluang siang yang terang ini untuk melakukan ibadah lain seperti sedekah, membantu orang lain, menziarahi orang sakit, mengajak orang kepada kebaikan etc.
-  Tidur seketika supaya badan tak terlalu letih.
Waktu malam pula :
-  Bahagikan masa antara tidur dan ibadah.
-  Tidur awal.
-  Fokuskan waktu malam untuk ibadah dan bahagikan ibadah kepada : solat, baca al-Quran, hafaz al-Quran, tadabbur al-Quran, doa, istighfar, zikir dan muzakarah ilmu. Buat jadual.
-  Kurangkan aktiviti lain pada waktu malam – FB, baca buku yang bukan ilmu Quran atau Sunnah, bersosial dengan manusia, preparation untuk tugasan harian etc. Cuba cari masa pada waktu siang (lepas Subuh contohnya) untuk lakukan perkara-perkara ini.
Kenapa tidak disebut mengenai bagaimana untuk organize dan bahagi masa untuk tugasan harian kita? Kerana saya dan kita dah terlalu arif merancang, mengendali, dan meneliti tugasan harian kita. Tiba masanya saya dan kita merancang untuk akhirat pula dan bagaimana untuk memperbanyakkan ibadah. Masa sudah suntuk, mati sedang menunggu kita.

Semoga Allah memberi kita petunjuk dan kekuatan untuk melaksanakan plan ini. Allah menyebut dalam surah al-Isra’ ayat 19 yang maksudnya : “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang sepatutnya baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.

credit
September 30, 2013 by ilidalila

Wednesday, December 4, 2013

5 PERKARA YANG AKAN MENGUBAH KEHIDUPAN SESIAPA SAHAJA!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua. In Sha Allah kali ini saya akan kongsikan 5 perkara yang bakal merubah kehidupan anda semua.
Perhatikan perkara-perkara di bawah ini dan sekiranya kita masih lagi dalam keadaan yang sama seperti 5 tahun sebelumnya, saya pasti kejayaan semakin menjauhi kita.
Saya juga melalui proses yang sama. 5 tahun sebelum saya mengetahui perkara-perkara ini, hidup saya berada dalam keadaan huru-hara dan tidak menentu. Duit tak pernah cukup-cukup. Buat bisnes pun ala kadar sahaja. Nak makan pastinya maggie yang jadi pilihan, nasi kalau nak makan sehari sekali dah kira ok sangat dah.
Alhamdulillah, 5 tahun sudah pun berlalu dan banyak perubahan yang berlaku dalam hidup saya. Saya berjaya menulis buku berstatus BESTSELLER dan kini baru sahaja menyiapkan penulisan buku yang ke-3. Saya berpeluang bersemuka dengan billionaire seperti Tony Fernandes dan Nick D’Aloisio. Bisnes hartanah yang saya jalankan bersama TEAM FATH Group sudah mencecah nilaian terkumpul 7 angka. Saya berkahwin pada usia 26 tahun dan kini berada di Oxford, United Kingdom untuk menemani isteri tercinta, Ummi Abdullah.
Jika anda benar-benar ingin berubah dan melihat hasil yang diidam-idamkan, perhatikan betul-betul perkara-perkara di bawah ini;
#1. Siapa 6 kenalan sekeliling kita yang paling banyak masa kita habiskan bersama mereka. 
Cuba perhatikan berapakah anggaran pendapatan tahunan mereka dan jumlahkan kesemuanya. Bahagikan jumlah tersebut dengan 6. Nilai akhir adalah nilai sebenar pendapatan tahunan kita jika kita sedari. Kiraan ini tidak semestinya tepat akan tetapi ianya memberi gambaran awal di mana tahap sebenar pendapatan kasar tahunan kita.
Jika kita tidak berpuas hati dengan nilai akhir tersebut, pilihlah untuk berkenalan dengan mereka yang lebih hebat daripada kita dan cubalah untuk luangkan masa yang lebih dengan kenalan yang baru dan positif ini.
#2. Buku apa yang telah kita baca sebulan yang lepas akan mempengaruhi siapa kita sebulan yang akan datang dan seterusnya. 
Saya pada mulanya langsung tidak minat untuk membaca namun setelah dinasihatkan untuk membaca buku-buku motivasi serta perniagaan oleh para Mentor, saya berpeluang untuk mengkaji bagaimana sebenarnya mereka yang berjaya ini berjaya. Akhirnya selepas membaca lebih 50 buah buku saya secara tidak sengaja tertulis buku sendiri dan kini sudah siap menulis buku yang ke-3.
Jika kita tidak membaca sebulan yang lepas, saya yakin dan pasti kita tidak akan alami sebarang perubahan untuk sebulan yang akan datang. Pilih topik-topik yang kita minati dan ingin kuasai dan kajilah bagaimana untuk berjaya dalam bidang tersebut.
#3. Jika kita nakkan sesuatu jangan lupa untuk tulis. 
Jangan sekali-kali percayakan ingatan di minda sebab ianya akan mudah untuk dilupakan. Saya kini tulis apa sahaja yang saya inginkan berbanding sebelumnya. Manusia amat sinonim dengan istilah pelupa, jadi jalan penyelesaiannya adalah dengan menulis apa sahaja yang ingin kita ingati dan capai.
Cuba mulakan menulis perkara-perkara yang ingin kita miliki dalam skala kecil terlebih dahulu dan setiap kali kita berjaya mendapatkannya, raikanlah kejayaan tersebut. Apabila kita sudah punyai keyakinan yang tinggi, maka bolehlah untuk terus sasarkan matlamat yang lebih besar. Tiada had untuk kita berimpian!
#4. Cari, Amalkan dan Ajarkan ilmu yang kita yakin ianya mampu untuk membuka peluang kepada sesiapa sahaja untuk berjaya.
Ilmu yang kita ada akan lebih diberkati dan diberi kefahaman yang tinggi apabila kita berusaha untuk kongsikan dengan sesiapa sahaja. Ingatlah, semakin kita berasa rugi untuk berkongsi ilmu kejayaan kita dengan orang lain, semakin sukar untuk rezeki hadir dalam hidup kita.
Tiada satu ilmu pun yang tidak bernilai kerana semua ilmu datangnya dari Allah s.w.t. Jangan takut dan khuatir untuk berkongsi kerana hipotesisnya adalah semakin berkongsi maka semakin banyak ilmu yang akan kita perolehi.
#5. Pilihlah untuk berguru. 
Saya amat bersyukur kerana berpeluang untuk mengenali ramai insan yang hebat dan duduk semeja dengan mereka semua untuk berbicara dan berbincang mengenai bagaimana untuk berjaya dan berusaha untuk membantu orang lain menjadi lebih berjaya. Sifu Mohd Siddiq antara guru yang terbaik pernah saya temui. Belajarlah darinya In Sha Allah anda akan temui mutiara ilmu yang tidak ada di mana-mana.
Lihatlah kelima-lima perkara ini dan jika anda cuba amalkan salah satu daripadanya In Sha Allah perubahan besar dan ketara akan berlaku dalam hidup anda.
Jika anda rasa perkongsian ini bernilai, SHARE lah dengan sesiapa sahaja dan kita perlukan lebih ramai insan yang berjaya kerana kita tidak akan merasai nikmat kejayaan bersendirian melainkan ianya dinikmati bersama-sama.

Dipetik dari Blog Fathuallah

Tuesday, December 3, 2013

6 Tips Mencapai Matlamat Dengan Pantas



Saya akan kongsikan 6 tips bagaimana cara yang saya lakukan bagi memastikan matlamat saya tercapai.
Tip #1. Tulis Matlamat Di Atas Kertas
Saya sarankan anda menulis matlamat di atas kertas kerana tulisan tangan sebenarnya lebih memberikan kesan psikologi yang lebih tinggi kepada minda kita berbanding perkataan daripada komputer.
Jika anda suka kepada kepelbagaian warna, tulislah matlamat tersebut mengikut kreativi masing-masing. Lebih cantik matlamat tersebut, lebih senang untuk anda mengingatinya.
Tip #2. Letakkan Matlamat Di Tempat Mudah Di Lihat
Saya sentiasa sediakan satu papan khas di dalam bilik dan akan menjadikan papan tersebut sebagai papan Impian. Jika sehari saya tidak melihat dan membacanya, saya akan terasa satu kehilangan yang besar lebih-lebih lagi sumber motivasi kepada segala apa yang saya lakukan.
Anda boleh guna white board sebagai salah satu pilihan alternatif.

Tip #3. Baca Dan Ulang Matlamat Tersebut Berulang Kali
Saya akan pastikan matlmat yang saya tetapkan dibaca tidak kurang daripada 3 kali sehari. Setiap kali membacanya, saya akan menggambarkan di dalam minda separa sedar saya bahawa matlamat tersebut sudah pun tercapai dan saya amat gembira mengecapinya.
Anda perlu lebih kreatif setiap kali anda membaca matlamat tersebut.
Tip #4. Beritahu Orang Lain Matlamat Tersebut
Perkara paling sukar dan ternyata memberi impak yang paling besar adalah untuk menyatakan matlamat kita kepada orang lain.
Kadang-kadang saya pun malu untuk nyatakan matlamat saya kepada orang lain apatah lagi di tempat awam. Namun kini setelah menyedari akan keberkesanannya, saya dengan sengaja memberitahu kepada orang lain apakah matlamat yang saya ingin capai.
Tip #5. Percaya 100% Matlamat Itu Akan Berjaya!
Perkara yang perlu menjadi perhatian penting adalah anda perlu yakin dan percaya 100% bahawa matlamat itu akan membuahkan hasil. Jika anda masih berdolak-dalih bahawa matlamat tersebut seperti sesuatu yang mustahil, lebih baik anda berhati-hati kerana sikap berdolak-dalih itu tadi akan melambatkan proses sebenar anda mengecapi kejayaan.
Tip #6. Fast Action!
Ini adalah perkara yang paling mustahak dalam perjalanan anda mencapai kejayaan. Jika matlamat sudah tersergam indah namun anda masih lagi dibuai mimpi indah dan tidak bertindak pantas untuk merealisasikan matlamat tersebut, lebih baik anda tidak mempunyai matlamat langsung.
Anda wajib bertanggungjawab penuh terhadap segala matlamat yang telah ditetapkan.
Fast Action Target Hit = FATH


Monday, December 2, 2013

Masih Belum Berpunya? Tetap Tenang Dan Yakinlah Dengan Allah

Entry ni saya ambil dari blog Muhammad Naim..nampak comel..sebab tu saya selitkan di sini. Moga moga bermanfaat.


Belum Berpunya

Belum berpunya. Pasangan hidup adalah salah satu dari stesen perjalanan dalam kehidupan bagi semua manusia. Disanalah kehidupan baru dimulakan, lengkap dengan semua jenis pelajaran yang akan membuat manusia tahu apa itu erti kebahagiaan yang sebenarnya.
 
Masih belum berpunya

Namun, bagi sesetengah orang, disinilah bermulanya ujian dalam kehidupan.Disaat usia yang berjalan tak dapat lagi diberhentikan, namun jodoh dan pelengkap hidupnya tidak kunjung datang, disaat itu pula kegundahan hati menjadi parah.Diri yang masih belum berpunya pula menjadi isu terbesar dalam hidup.Mungkin pelbagai cara telah kita lakukan. Pelbagai ikhtiar sudah diusahakan. Namun masih belum berhasil.Mari kita berhenti sejenak, dan berfikir secara tenang dengan dada yang lapang. Memang tak ada sesiapapun yang ingin melalui ujian seperti ini.

Namun bukankah takdir itu sudah ditetapkan dan Allah SWT juga tidak akan memberi ujian yang melampui kemampuan hambanya? Kadangkala, banyak pelajaran yang dapat kita ambil diatas ujian untuk terjadi. Dengan tertundanya kebahagiaan itu, siapa tahu Allah sedang mengajar kita tentang makna menghargai. Ya, ketika jodoh telah datang, pastinya kita akan menjadi seorang yang lebih manis dalam bersyukur serta menjadi lebih istimewa.
Dengan tertundanya pertemuan itu, mungkin Allah ingin memberikan yang lebih baik kepada kita. Dan atau dengan tertundanya jodoh itu, Allah ingin menjadikan kita lebih matang dan lebih bersedia dalam membina keluarga.
Ingatlah, Allah itu sebaik-baik pengatur. Be Positive :)

MUDAHNYA MENJEMPUT REZEKI


“Rezeki, Allah yang pegang.
Minta dengan Dia dulu..”
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukurnescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras." 

Ramai diantara kita mungkin pernah mengalami masalah kewangan atau kesuntukan duit dalam hidup. Selain dari usaha yang bersungguh, ada beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk memudahkan kita dikurniakan rezeki.
Harap sedikit perkongsian ini dapat membantu kita semua dalam mencari redha Allah. Mencari rezeki itu adalah satu ibadah..belajar lah untuk ikhlas dalam setiap perbuatan. Jom muhasabah diri..
Yang penting, kita kena yakin dengan rezeki Allah..

1.Menarik Rezeki Dengan Bersedekah
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas r.a.)
Ramai yang tidak tahu bahawa amalan bersedekah mampu untuk membawa rezeki yang melimpah-ruah kepada si pemberi rezeki. Amalan yang digalakkan oleh Islam ini bukanlah bermaksud sama sekali mengurangkan wang kita, malah menambah rezeki dan kekayaan kita.
Bersedekahlah tanpa perlu mengharapkan sebarang balasan.
Pernahkah kita didatangi oleh seorang peminta sedekah yang mengharapkan sedikit wang untuk membeli makanan? Bagaimana respons kita terhadapnya? Berapa jumlah wang yang kita berikan?
Bersedekah bukanlah memberikan sekecil-kecil wang yang kita miliki, Memberi RM0.10 contohnya untuk diberikan kepada peminta sedekah itu sambil dalam hati berkata “Tentu ada orang lain lagi yang akan memberikan wang kepada dia.
Usah bersedekah dengan cara ini kerana ia salah. Kerana niat kita bukanalah untuk bersedekah, sebaliknya memberi sedikit wang kepada orang tersebut. Bersedekah dengan semampu yang boleh. Fahamkah perkataan “semampu” itu.
Tidak mungkin kita hanya mampu menghulurkan hanya 10sen sahaja, kan? =)
Lakukanlah sedekah dengan  ikhlas. ikhlaskan dalam hati sehabis mungkin. Jangan pula ketika memberi sedekah tetapi dalam hati kita berniat agar orang peminta sedekah itu segera beredar. Atau berasa rugi dan merungut dalam hati ketika memberikan wang itu.
Ketika menghulurkan sedekah, janganlah disusuli dengan sesuatu perkataan yang menyakitkan hati si penerima sedekah tersebut. Contohnya dengan mengatakan. “Gunakan duit ini untuk perkara baik-baik, jangan pula pergi membazir.”
Walaupun niat kita baik, tetapi dalam masa yang sama kita telah menyakiti hati si penerima tersebut. Maka membuatkan sedekah kita tadi bukan lagi berupa sedekah.. rugi bukan?
Jangan mengharapkan balasan
Kita sering kali tersilap dalam memberi sedekah dan berkata dalam hati, semoga sedekah yang dilakukan oleh aku ini akan mendapat balasan setimpal. Sesungguhnya memberikan sesuatu tanpa mengharapkan balasan adalah lebih mulia disisi Tuhan berbanding mengharapkan balasan.
Allah menyatakan dalam firmanNya;
“Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara sembunyi dan terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih.” [Al-Bakarah: 274]
Memberikan sesuatu yang berguna
Pernah terlihat amalan masyarakat kita yang memberikan barangan pakaian-pakaian buruk dan lama atau buku-buku yang ingin dibuang? Seeloknya, bersedekahlah dengan wang atau barangan yang masih baik dalam keadaan elok. Bukannya dari barangan yang ingin dibuang. Kita hendak bersedekah, bukan menolak “sampah” kita kepada mereka yang tidak bernasib baik.
Saya pernah terbaca catatan dari Rumah Pengasih (Saiful Nang) yang menceritakan rumah kebajikan seliaannya pernah menerima sumbangan seluar dalam yang koyak rabak dan dalam keadaan menjijikkan. Bagaimana kita boleh mengharapkan rahmat Allah kepada kita sedangkan kita membuat perbuatan seperti itu?
Buatlah si penerima berasa gembira. Walaupun kita tidak mampu bersedekah lebih, sekurang-kurangnya buatlah hati mereka merasa gembira. Insyaallah, jauh disudut hati mereka akan mendoakan kita kembali agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat.
2. Menarik Rezeki dengan Berdoa
Selepas berusaha melakukan kerja, jangan lupa untuk berdoa. Apa sahaja tindakan yang diiringi doa, akan diperkenankan oleh Allah SWT. Berdoa  dan meminta adalah sifat semula jadi manusia. Hanya dengan doa, segala permintaan dapat didengari oleh-Nya. Insyaallah, rezeki akan tiba kepada kita cepat atau lambat sahaja.
Sebelum memulakan kerja, lakukan sedikit doa memohon keberkatan dari pekerjaan yang kita jalankan dan tanamkan niat berkerja mencari rezeki yang halal. Yang kita mahukan adalah dilimpahkan rezeki yang halal dan berkat.
“Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha kaya, wahai Tuhan yang Maha Terpuji, wahai Tuhan yang Maha Pencipta, wahai Tuhan yang Maha Mengembalikan, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, kayakan aku dengan perkara-perkara yang dikau halalkan dan bukan daripada yang dikau haramkan, serta dengan kelebihan atau kurniaan-Mu bukan daripada mereka selain daripada -Mu.”
3. Mengamalkan Solat Sunat Dhuha
Solat ini sering diamalkan oleh ahli perniagaan Muslim. Sehinggakan ada yang mengamalkan solat sunat ini seperti sebahagian solat wajib.
Solat Dhuha ini satu-satunya solat yang memberikan limpahan rezeki dari Allah SWT. Jika diamalkan selalu, InsyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas. Solat dhuha sering dikatakan magnet rezeki. Dengan melakukan solat ini, rezeki yang dipohon akan segera menjengah kita.
Kredit to akuislam.com       

3. Bersyukur kepada Allah

Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:

“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7) Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)

4. Utamakan beribadah
Allah tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:

“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.” (Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.)

5. Memperbanyakkan istighfar


Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan Allah , yang menjadi sebab Allah jatuh kasih dan kasihan pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si hamba. Sabda Nabi s.a.w.: 

“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a.)
                                                                                                               

6.Meninggalkan perbuatan atau amalan yang berdosa


Istighfar tidak laku di sisi Allah jika masih buat dosa. Dosa bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:

“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.” (Riwayat at-Tirmizi)

7. Sentiasa mengingati Allah

Banyak ingat Allah buatkan hati tenang dan kehidupan terasa lapang. Ini rezeki yang hanya Allah beri kepada orang beriman. Firman-Nya:

“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Ar-Ra’d: 28)

8. Berbakti dan mendoakan ibu bapa


Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda s.a.w. juga bersabda:

“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim) 
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:

“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.” (Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)

9. Berbuat baik dan menolong orang yang lemah

Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:

“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)

10. Menunaikan hajat orang lain

Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:

“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…” (Riwayat Muslim)

11. Memperbanyakkan Selawat

Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam.

12. Buat kebajikan sebanyak mungkin

Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”

13. Memulakan aktiviti harian seawal pagi


Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.

14. Menjalin dan menghubungkan silaturrahim

Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)

14. Sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk


Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.” (Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
15. Mengamalkan solat tahajud
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .

16. Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu


Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki. 

Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.

Salah satu nama Allah , al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.” Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.

17. Berikhtiar sehabisnya


Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim) 

Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.

18. Bertawakal kepada Allah

Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya) .” (At-Thalaq: 3) 
Nabi s.a.w. bersabda:

“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.” (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab r.a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa. Dengan takwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan) , dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.” (At-Talaq: 2-3) 

Secara ringkasnya untuk menjemput rezeki ialah dengan bertaqwa kepada Allah. Yakni melakukan apa yang Allah suruh dan meninggalkan apa yang Allah larang.  Jom kita amalkan supaya kita hampir dengan ALLAH dan mudah rezeki datang.