Total Pageviews

Showing posts with label RESDUNG. Show all posts
Showing posts with label RESDUNG. Show all posts

Saturday, December 7, 2013

RESDUNG-RISIKO JANGKITAN OTAK



ANDA batuk, kerap bersin, tidak bermaya dan tidak sedap badan. Hidung pula rasa berair dan tersumbat. Anda terasa yang anda demam.
Apabila ubat-ubatan yang diambil tidak meredakan gejala-gejala demam biasa, bangun pagi anda mulai diiringi dengan sakit kepala dan rasa berat pada bahagian muka.
Selepas doktor mendengar sejarah gejala, memeriksa bahagian muka, dahi dan mungkin menjalankan sinaran-X pada bahagian sinus, anda disahkan menghidap penyakit sinusitis.
Di kalangan masyarakat setempat, ia lebih popular sebagai resdung dan sangat biasa terjadi di kalangan rakyat negara ini.
``Ringkasnya, resdung menghasilkan pelbagai gejala hidung dan tidak ketinggalan boleh juga memberikan kesan terhadap tekak, peti suara serta telinga tengah.
``Salah satu punca resdung adalah disebabkan oleh jangkitan bakteria ke atas hidung dan rongga di sekelilingnya yang dipanggil sinus,'' kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak, Hospital Pusrawi, Kuala Lumpur, Dr. Amir Izwan Mohamed Dahan.
Menurutnya, sinus sebenarnya adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.
Sinus terletak pada bahagian muka - pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.
Ia terbahagi kepada empat; masing-masingnya dikenali sebagai sinus frontal, sinus maksila, sinus etmoid dan sinus sfenoid.
Fungsi sebenar sinus tidak diketahui dengan tepat tetapi ada antara teori mengatakan sinus berfungsi meringankan tengkorak selain turut memainkan peranan dalam degungan suara.
``Biasanya lendir dihasilkan oleh rongga-rongga ini pada setiap masa dan disalirkan ke dalam hidung.
``Jika saluran daripada sinus ini tersumbat, lendir akan terkumpul dan rongga sinus menjadi tempat pembiakan yang baik bagi kuman bakteria,'' katanya.
Dr. Amir Izwan yang juga pakar bedah kepala dan leher berkata, bengkakan di dalam lapisan hidung juga boleh menyebabkan salur sinus ini tersumbat.
Salah satu punca utama bengkakan dalam hidung ini ialah radang hidung disebabkan oleh alahan (rhinitis) yang agak berleluasa dalam masyarakat kita.
Mengulas lanjut, resdung boleh juga terjadi disebabkan oleh rerambut halus silia di dalam sinus yang sepatutnya membantu pengaliran mukus, gagal menyempurnakan tugasnya.
Aktiviti menyelam ataupun berenang merupakan antara beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko resdung selain asap rokok yang dikenal pasti sebagai pencetus radang hidung.
Oleh itu, adalah sangat penting `mengharamkan' tabiat merokok di dalam persekitaran rumah mahupun kenderaan pesakit resdung, sekali gus mengelakkan tempat-tempat yang seumpamanya.
Katanya, apabila gejala resdung berlaku dalam tempoh beberapa hari hingga beberapa minggu, ia diklasifikasikan sebagai akut.
Resdung akut kadangkala adalah penyebab demam, terutamanya yang berlanjutan lebih daripada tujuh hingga 10 hari.
``Asalnya, virus-virus yang menyebabkan selesema biasa, menyerang lapisan dalam hidung dan sinus menyebabkan bengkak dan menyempit.
``Badan juga bertindak balas terhadap virus dengan menghasilkan lebih banyak mukus. Ini menyebabkan hidung tersumbat dan nanah terkumpul di dalam sinus yang bengkak,'' kata Dr. Amir Izwan.
Demam yang mula kebah tetapi kemudiannya bertukar melarat menjadi sebahagian tanda-tanda resdung akut.
Di samping itu, kesakitan di dalam bahagian dahi yang timbul semasa anda mencondongkan badan ke depan seperti waktu sujud juga boleh menjadi petanda.
Ditanya bagaimanakah caranya untuk membezakan di antara resdung, demam selesema biasa dan alahan hidung memandangkan ketiga-tiganya mempunyai gejala yang saling bertindihan, Dr. Amir Izwan menjelaskan:
``Jika pesakit demam dan mempunyai gejala berkaitan hidung seperti sakit muka dan hidung, keluar nanah berwarna kuning atau hijau daripada hidung atau kahak warna sama pada sebelah pagi, itu resdung.
``Apabila gejala-gejalanya berlaku lebih kerap ataupun jangkitan berpanjangan lebih daripada tiga bulan, resdung akut boleh menjadi kronik.
``Gejalanya mungkin tidak seteruk resdung akut namun, jika tidak dirawat boleh menyebabkan kerosakan kepada sinus dan tulang pipi sehingga memerlukan pembedahan,'' katanya.
Walaupun resdung tidak boleh menjadi kanser sehingga menyebabkan hidung rompong tetapi sebaliknya kanser boleh memperlihatkan gejala-gejala seperti penyakit itu.
Sekiranya dibiarkan tanpa rawatan, resdung boleh mengakibatkan maut tidak langsung yang disebabkan oleh komplikasi pada otak pesakit.
Serangan resdung berulang-ulang juga boleh berlaku. Pesakit selalunya diberikan rawatan antibiotik untuk menyembuhkannya tetapi penyakit datang semula sebulan dua kemudian.
Puncanya mungkin disebabkan oleh faktor penyebab penyakit ini yang tidak dirawat sepenuhnya, lazimnya susunan tulang dalaman sinus yang tidak normal dan sempit. Dalam kes-kes begini, pembedahan endoskopi dilakukan.
Sekiranya gejala resdung masih berterusan, kaedah baru ini akan dilakukan di mana rongga-rongga sinus terlibat akan dibuka menggunakan alat-alat khas di bawah penglihatan kamera skop.
Pembedahan sinus endoskopi ini sama sekali tidak memerlukan belahan pada kulit kerana segala prosedurnya dilakukan di dalam rongga hidung.
Ini berbeza dari kaedah lama pembedahan di mana belahan terpaksa dibuat di sekeliling kawasan hidung.
Pun begitu, gejala alahan hidung masih boleh terjadi selepas pembedahan dan hanya dapat dikawal melalui penggunaan ubat-ubatan.
`Justeru, adalah sangat penting bagi para pesakit untuk mengekalkan pengambilan ubat-ubatan antialahan selepas pembedahan,'' kata Dr. Amir Izwan.
Tambahnya, cara terbaik untuk mencegah serangan resdung ialah dengan merawat gejala-gejala hidung dengan segera sebelum ia melarat.
Gejala resdung:
* Hidung tersumbat
* Lendir daripada hidung dan tekak
* Muka berasa sakit dan berat terutamanya pada bahagian antara mata
* Sakit tekak berpanjangan dan berulang-ulang
* Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan akibat gejala di atas
* Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya.
Punca resdung:
* Susunan tulang dalaman hidung yang sempit
* Hidung bengkok
* Mandi dan terjun di dalam air yang kotor
* Jangkitan gigi atas
* Ketumbuhan di dalam hidung
* Objek dimasukkan ke dalam hidung, contohnya putik kapas, maik dan kertas
* Tisu belakang hidung yang bengkak terutamanya kanak-kanak.
Komplikasi resdung:
* Jangkitan nanah di sekeliling kawasan mata
* Jangkitan otak (meningitis)
* Sakit tekak yang kronik
* Jangkitan tulang muka
* Memburukkan keadaan lelah
* Berdengkur yang kronik
* Jangkitan telinga dan tonsil, terutamanya kanak-kanak
* Alahan hidung atau hidung sensitif
* Selesema biasa yang melarat.
Diagnosis:
* Skop hidung untuk melihat punca resdung
* Skan CT hidung dan sinus untuk melihat rongga-rongga yang terlibat dan kawasan putih menandakan lendir atau dipenuhi nanah
Rawatan:
Berdasarkan gejala pesakit dan hasil diagnosis, rawatan bersesuaian akan disyorkan.
* Antibiotik (10 hingga 14 hari bagi resdung akut)
* Ubat selesema
* Dekongestan; ubat titis atau semburan hidung
* Pembedahan hanya akan dipertimbangkan setelah rawatan-rawatan lain tidak berkesan ataupun jika ada sesuatu yang menghalang sinus dan ia tidak dapat disembuhkan dengan ubat-ubatan.
Tip menguruskan resdung:
* Bagi pesakit yang mempunyai alahan hidung disarankan agar tidak menyapu rumah tetapi menggunakan vakum atau mop
* Elakkan makanan yang boleh menyebabkan alahan
Setiap individu alah kepada makanan yang berlainan terutamanya ramai orang yang tidak boleh memakan makanan laut yang kaya protein atau belacan
* Banyakkan berehat. Berbaringlah menggunakan bahagian badan yang membuatkan anda bernafas dengan lebih baik kerana ia berupaya melegakan resdung
* Hirup sup atau cecair yang panas dan minum banyak air
* Lap muka anda dengan menggunakan tuala yang dibasahkan dengan air suam ataupun melakukan pernafasan wap
* Jangan menggunakan semburan hidung dekongestan lebih dari tujuh hari. Jika tidak, bengkak di dalam sinus akan menjadi lebih teruk selepas anda memberhentikan penggunaannya
* Bilas saluran sinus menggunakan larutan salina yang boleh didapati di farmasi
* Anda juga boleh menggunakan ubat-ubatan seperti acetaminophen dan parasetamol untuk merawat kesakitan
* Berbincanglah dengan doktor anda sebelum mengambil ubat demam kerana sesetengahnya boleh memburukkan gejala resdung ataupun menimbulkan lain-lain masalah.


Artikel Penuh: 

Friday, December 6, 2013

KENALI RESDUNG



Adakah anda kerap bersin, batuk, tidak bermaya, gatal-gatal dibahagian mata,hidung atau telinga serta selalu rasa tidak enak badan? Kadang-kadang hidung merah dan berair selalu,demam melanda walaupun sudah mengambil ubat-ubatan. Sakit pada bahagian kepala setiap kali bangun tidur di awal pagi dan rutin harian anda turut rasa terganggu.Tahukah anda itu merupakan tanda-tanda anda menghidapi penyakit sinusitis.

Penyakit sinusitis atau lebih dikenali sebagai penyakit resdung di kalangan masyarakat kita hari ini.Untuk kepastian jumpalah doktor, minta doktor jalankan sinaran-x untuk pengesahan kerana jika ia bukan resdung ia mungkin adalah kanser.Kesan resdung ini bukan sahaja boleh menjejaskan hidung anda malah tekak, peti suara dan telinga tengah juga turut menerima kesan ketidakselesaan. Kadang-kadang gatal pada keseluruhan muka.

Sinus adalah rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil.Sinus terletak pada bahagian muka,pipi di bawah mata, di antara dua muka, sedikit di belakng hidung dan meliputi bahagian dahi seseorang. Fungsi sinus secara teorinya ialah untuk meringankan tengkorak selain memainkan peranan dalam degungan suara.

Resdung boleh terjadi kerana rerambut halus silia di dalam sinus gagal menyempurnakan tugasnya iaitu membantu pengaliran lendiran mukus ke bahagian yang sepatutnya.Apabila saluran sinus tersumbat maka wujudnya pembiakan bakteria yang menyebabkan berlaku bengkakkan dalam hidung juga dikenali sebagai radang hidung yang menyebabkan berlaku alahan.

Walaupun resdung tidak akan menjadi kanser(mempunyai gejala yang hampir sama dengan resdung), rawatan masih lagi diperlukan kerana jika tidak dirawat segera ia boleh memberi kompilasi kepada otak. Serangan resdung akan berulang kembali walaupun sudah reda selepas mengambil ubat-ubatan. Sesetengahnya sehingga terpaksa melakukan pembedahan apabila resdung sudah mencapai tahap kronik. Akan tetapi gejala alahan tetap akan berlaku selepas pembedahan dan hanya boleh dikawal dengan pengambilan ubat-ubatan.

Cara terbaik mencegah serangan resdung adalah dengan menghindar gejal-gejala resdung.

 Tanda-Tanda Resdung

  • Hidung selalu tersumbat
  • Lendir dari hidung dan tekak
  • Sakit atau rasa berat muka terutama kawasan diantara mata
  • Sakit tekak yang berpanjangan dan berulang
  • Demam atau rasa tidak sedap badan yang berpanjangan
  • Gejala alahan hidung seperti bersin, gatal hidung dan sebagainya

 

Punca Resdung

  • Alahan. Iaitu terhadap jenis makanan tertentu, habuk, parasit (demodex) dan kutu.
  • Apabila anda mengalami alahan, daging yang bertindak sebagai penapis udara didalam hidung akan membengkak. Seterusnya, ia menyebabkan pergerakan udara tak dapat dikeluarkan. Kalau udara tu tak dapat keluar, ia pastinya akan terkumpul kat dalam tu. Kesannya, kulat akan tumbuh dan kawasan dalam hidung menjadi semakin membengkak. Anda yang pernah mengalaminya pasti tahu tahap kesakitannya.
  • Struktur hidung yang tidak normal, yang mungkin diakibatkan oleh tulang hidung retak atau patah ketika kemalangan boleh menyebabkan seseorang mendapat penyakit resdung. Bagi sesetengah orang yang mempunyai struktur tulang hidung yang " senget " tidak lurus (deviated nasal septum), risiko untuk mendapat resdung adalah tinggi.
  • Kerosakan atau sakit gigi di bahagian gusi atas boleh menyebabkan resdung. Kuman atau bakteria yang berasal dari kerosakan atau sakit gigi boleh merebak dengan mudah ke rongga sinus dan menyebabkan resdung. Hal demikian kerana kedudukan gigi gusi atas amat berdekatan dengan rongga sinus. Rongga sinus yang terdapat di dalam tulang pipi (dikenali sebagai maxillary sinus) merupakan rongga yang paling kerap mendapat sinutisis akibat kerosakan gigi.
  • Di samping itu kajian menunjukkan tabiat menyelam dan menyelam di air sungai atau kolam yang kotor serta laut yang tercemar turut menyumbang dan mengakibatkan penyakit ini.
  • Lebih parah lagi, resdung ni boleh merebak ke bahagian mata. Akibatnya, anda boleh hilang deria penglihatan dan ia juga boleh menjangkiti otak. Tetapi, resdung ni tak berjangkit kat orang lain atau diwarisi oleh keturunannya. 

 

Petua Mencegah Resdung

  • Elakkan daripada memelihara binatang berbulu kat dalam rumah seperti kucing dan arnab. 
  • Jangan menggunakan sarung bantal, cadar dan selimut yang diperbuat daripada bulu binatang. 
  • Ringankan tangan anda untuk membersihkan karpet/permaidani. Kalau perlu, gunakan penyedut hampagas (vacuum cleaner) yang berkualiti tinggi. 
  • Kalau anda nak mengemas rumah, pakailah penutup hidung. 
  • Minum air suam/mineral dengan kadar yang banyak. Bagus juga kalau anda amalkan minum sup panas. 
  • Selalulah mencuci dan menjaga kebersihan muka anda. 
  • Kalau anda ada alahan terhadap jenis makanan tertentu (contohnya makanan laut), janganlah makan makanan tu.

 

Set vitamin Shaklee untuk pesakit resdung :

  • Vitamin C
  • B Complex
  • Alfalfa Complex