Walaupun bunyinya seperti kompleks, tetapi sebenarnya hypnobirthing boleh dikatakan sebagai teknik bersalin yang paling mudah kerana tidak melibatkan sebarang intervensi yang melibatkan ubat tahan sakit mahupun pembedahan seperti Caesarean, inducing, epidural, etonox, dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin. Dengan kesedaran ramai wanita, hypnobirthing kini menjadi salah satu kaedah alternatif yang mula meniti di bibir wanita, terutamanya setelah ia dipopularkan oleh selebriti tempatan mahupun antarabangsa seperti Jessica Alba dan Daphne Iking. Puteri Britain kesayangan ramai, Kate Middleton juga dikhabarkan ingin mencuba teknik ini ketika bersalin nanti!

Apakah hypnobirthing?

Hypnobirthing ialah sebuah kaedah unik yang membolehkan bakal ibu menggunakan gerak hati semulajadi untuk bersalin dengan cara yang paling alami dan selesa. Ia merupakan salah satu teknik alternatif di mana ia melibatkan pernafasan, menenangkan diri, dan visualisasi. Kaedah ini bukanlah menidakkan sebarang kesakitan semasa proses bersalin, tetapi ia terbukti berkesan untuk membantu wanita mengawal perasaan takut, cemas, dan risau yang sebenarnya membuatkan pengalaman bersalin dianggap sebagai sebuah mimpi ngeri.
Teknik ini melibatkan pengambilan kelas atau kursus pendek selama 12 jam yang boleh dihabiskan dalam masa dua hari atau lebih. Antara slot yang terdapat dalam kursus ini ialah belajar memahami proses kelahiran bayi dengan lebih dekat, belajar cara pernafasan yang baik, menonton video kelahiran bayi, menvisualisasi dan menginterpretasi kelahiran bayi anda secara positif, dan beberapa kelas motivasi bagi meningkatkan keyakinan diri anda serta pasangan.
Selain ditemani oleh doktor, bidan atau pakar hypnobirthing, ia juga dapat dilakukan sendiri oleh wanita hamil dengan bantuan , suami mahupun anggota keluarga yang lain. Proses ini disebut dengan self-hypnobirthing.

Kebaikan hypnobirthing

Mengurangkan kebergantungan teradap sebarang intervensi semasa proses bersalin – dicapai melalui teknik pernafasan dan visualisasi yang baik. Ia juga meningkatkan keyakinan diri dan membolehkan wanita mengawal keadaan dengan tenang.
Memberi persepsi positif terhadap proses bersalin – sepanjang kelas, bakal ibu akan memahami dan membina pemikiran positif terhadap kelahiran yang sering dianggap menakutkan. Yang menariknya,  beberapa istilah diberi gelaran yang lebih positif seperti kontraksi yang digelar ‘surges’ atau ‘sensation’ akan digunakan bagi membantu minda anda mengubah persepsi ini.
Meningkatkan tenaga semasa proses bersalin – dengan kadar keyakinan yang tinggi dan kebolehan anda mengawal diri anda untuk tenang, anda lebih mudah untuk menghadapi kesakitan dan membuat keputusan yang baik untuk membantu melancarkan kehamilan. Sesetengah wanita yang melalui hypnobirthing didapati masih boleh berjalan walaupun bukaan rahim sudah mencapai 8 hingga 9 cm!
Memupuk konsep keibubapaan sejak sebelum bayi dilahirkan lagi – melalui konsep ini, para ibu bapa akan sentiasa berjuang dan bersemangat untuk melahirkan bayi secara normal. Ia turut memberi peluang kepada para bapa untuk memaksimakan peranan mereka sepanjang membantu proses kelahiran.
Mempercepatkan proses pemulihan selepas bersalin – biasanya, pengamal hypnobirthing akan berjaya melahirkan tanpa perlu menjalani episiotomy mahupun pembedahan. Dengan itu, mereka menghadapi kurang komplikasi dan kesakitan selepas bersalin dan berpendapat bahawa ianya merupakan pengalaman semulajadi yang sangat mengagumkan serta mengujakan – bukannya menakutkan!

Risiko hypnobirthing

Sebenarnya tidak ada risiko dalam mengamalkan hypnobirthing kerana ia adalah teknik mengendalikan kesakitan semata-mata, tetapi home birthing (bersalin di rumah) yang berisiko. Ia boleh bertukar menjadi proses bersalin yang amat berbahaya sekiranya anda culas,  hilang fokus, atau tidak dapat mengawal diri semasa proses bersalin kelak.
Namun, anda boleh meminta bantuan suami, ibu, doktor, bidan, atau sesiapa sahaja untuk membantu anda melakukan hypnobirthing. Kebanyakan wanita yang sudah tidak mampu bertahan dengan teknik hypnobirthing untuk melahirkan bayi di rumah akan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagi wanita yang tidak mengalami masalah sepanjang kehamilan, kadar komplikasi seperti bayi lemas, pendarahan, atau meninggal dunia adalah rendah.
Walaubagaimanapun, anda tidak disarankan untuk melakukan hypnobirthing sendiri di rumah jika anda mengandungkan bayi kembar, mengalami diabetes, tekanan darah tinggi, atau mengalami komplikasi serta penyakit lain sepanjang tempoh kehamilan.

Di mana boleh saya lakukan hypnobirthing di Malaysia?

Di hospital swasta, Hospital Tropicana, Hospital Gleneagles, Hospital Pantai Bangsar,  (Kuala Lumpur) dan Hospital Island (Pulau Pinang) sudahpun beberapa kali menjayakan proses bersalin secara hypnobirthing. Beberapa hospital swasta lain di Kuala Lumpur juga sudah mula mengendalikan teknik ini atas permintaan ramai.
Bagi anda yang melahirkan bayi di hospital kerajaan pula, anda harus bertegas dan bersedia secara mental untuk menjayakan hypnobirthing kerana ianya memerlukan keberanian dan mungkin berlaku percanggahan pendapat dengan jururawat atau bidan dan doktor yang bakal menyambut kelahiran bayi anda.

credit pregnant.my