MENGIKUT orang tua-tua
dulu, ketika dalam pantang, wanita tidak dibenarkan melakukan sebarang kerja.
Larangan ini ada rasionalnya kerana ia sebenarnya memberi peluang wanita
mendapat rehat secukupnya selepas melahirkan anak.
Kehamilan adalah khabar
gembira, tetapi mungkin ramai tidak tahu atau tidak sedar ia sebenarnya memberi
tekanan fizikal dan mental kepada wanita yang mengalami masalah loya dan
muntah, terutama jika ia tidak dirancang dan bukan kehamilan yang diharapkan.
Perkara ini boleh
menyebabkan sesetengah wanita mengalami masalah tekanan, kesedihan melampau dan
kemurungan selepas melahirkan anak.
Dalam keadaan tertentu,
gangguan fikiran dan emosi dihadapi menyebabkan sesetengah ibu tidak dibenarkan
menjaga bayi mereka.
Bagi masyarakat kita, ia
dipanggil meroyan atau kemurungan postpartum yang berlaku selepas melahirkan
anak.
Menurut perunding
psikiatri, Dr Nor Hamidah Mohd Salleh, walaupun zaman sudah berubah, masalah
ini tetap berlaku kepada semua bangsa.
Prevalens kemurungan
postpartum adalah satu atau dua kes bagi 1,000 kelahiran. Dalam budaya kita,
wanita dalam pantang diberi perhatian dan layanan istimewa daripada suami dan
keluarga.
Ini adalah budaya yang
baik kerana ia boleh mengurangkan risiko wanita mengalami kemurungan selepas
bersalin.
Kemurungan postpartum
atau meroyan juga boleh berlaku apabila wanita mengalami keguguran, bayi
meninggal dunia ketika dilahirkan atau bayi dijadikan anak angkat.
Ia adalah masalah yang
serius dan jika tidak dirawat boleh menyebabkan ibu hilang pertimbangan diri.
Kenapa ia hanya berlaku
pada sesetengah orang? Kata Dr Nor Hamidah, ia juga dipengaruhi daya ketahanan
mental seseorang. Bagi yang ‘tahan lasak’ dan reda dengan takdir serta
menganggap setiap kehamilan (walaupun tidak dirancang) sebagai rezeki, risiko
mengalami masalah ini jauh lebih rendah.
Banyak punca boleh
menyebabkan masalah ini seperti:
·
Pernah mengalami
kemurungan, sama ada pada diri sendiri atau ahli keluarga (termasuk
skizofrenia).
·
Perubahan hormon yang
banyak (perubahan hormon mendadak boleh merangsang kemurungan).
·
Pertambahan
tanggungjawab.
·
Tekanan.
·
Kurang sokongan
keluarga.
·
Gangguan psiko sosial
seperti masalah perkahwinan atau pergaduhan.
·
Tidak cukup tidur kerana
terpaksa bangun malam untuk menyusukan anak.
·
Melahirkan anak yang
tidak dikehendaki.
·
Kekecewaan akibat
terlalu inginkan anak lelaki, tetapi dianugerahkan anak perempuan (atau
sebaliknya).
Bagaimana hendak
mengenali jika isteri atau ahli keluarga mengalami masalah ini? Antara simptom
meroyan ialah:
·
Terlalu lesu.
·
Hilang kegembiraan untuk
menjalani hidup.
·
Tidak boleh tidur malam
(insomnia).
·
Sedih keterlaluan
·
Menangis tanpa sebab.
·
Resah gelisah
·
Berasa diri tidak
berharga
·
Sentiasa berasa bersalah
·
Emosi mudah terganggu
·
Hilang selera
·
Tidak boleh menumpukan
perhatian.
Bagi kes lebih serius
yang dipanggil postpartum psikosis, wanita mungkin:
·
Hilang pertimbangan
·
Berasa benci kepada anak
·
Mengalami delusi
(percaya kepada perkara yang tidak benar seperti menganggap diri sebagai orang
terkenal)
·
Mengalami halusinasi
(mendengar suara ghaib)
·
Terlintas mahu membunuh
diri
“Kemurungan postpartum
biasanya berlaku selepas beberapa hari melahirkan anak dan ia berlanjutan
sehingga melebihi dua minggu. Wanita yang mempunyai sejarah kemurungan berisiko
tinggi untuk mengalami masalah ini.
“Biasanya ia berlaku
pada wanita yang pernah mengalami masalah kemurungan. Jika seseorang wanita
mengalami kemurungan postpartum pada kehamilan pertama, dia berisiko tinggi
mengalami masalah sama pada kehamilan seterusnya dengan kebarangkalian sebanyak
25 peratus.
“Bagi kes begini, ia
dikelaskan sebagai kehamilan berisiko tinggi dan keadaan mereka dipantau
sepanjang kehamilan dan selepas melahirkan anak. Bagaimanapun, jangan keliru
dengan kesedihan selepas bersalin atau dipanggil ‘baby blues’. Si ibu akan berasa
sedih tanpa sebarang sebab, tetapi masalah ini tidak lama dan hilang selepas
lima atau tujuh hari,” katanya.
Hampir 50 peratus wanita
mengalami masalah ‘baby blues’. Ia masalah biasa dan tidak perlu dirisaukan.
Ada yang mengalaminya pada kelahiran pertama saja. Antara gejalanya ialah rasa
tertekan, sedikit murung, sedih, mudah menangis, berasa terlalu terharu tanpa
sebab dan emosi cepat berubah.
Semua gejala ini timbul
akibat perubahan hormon yang banyak selepas bersalin dan akan hilang
beransur-ansur apabila paras hormon kembali normal.
Bagaimanapun jika
kemurungan ini berlanjutan melebihi dua minggu, suami atau ahli keluarga
disaran segera membawa isteri mendapatkan rawatan.
“Dalam keadaan seperti
ini, sokongan ahli keluarga, terutama suami, sangat penting. Suami perlu beri
kerjasama menjaga anak, seperti bangun malam atau membantu menukar lampin,
supaya isteri boleh mendapat tidur yang cukup.
“Kurang sokongan
daripada suami dan ahli keluarga boleh menyebabkan wanita mengalami kemurungan.
Apabila ini berlaku dan tidak dibantu segera, masalah jadi lebih berat kerana
pesakit tidak dapat mengawal perasaan dan dibelenggu pelbagai perkara yang
menekan fikiran,” katanya.
Kemurungan ini juga
membuatkan sesetengah ibu tidak dapat menyusukan bayi kerana ada perasaan benci
atau menganggap anak mereka cacat, walaupun hakikatnya ia dilahirkan sempurna
atau melihat si kecil itu bukan anak sendiri.
Dr Nor Hamidah berkata,
kehamilan yang tidak dirancang atau tidak dikehendaki juga boleh menjadikan
wanita tertekan dan murung selepas bersalin.
Kajian menunjukkan
hampir 70 peratus kehamilan yang berlaku adalah tidak dirancang dan ini
meningkatkan risiko untuk mengalami kemurungan.
Bagaimanapun, budaya
masyarakat kita tanpa mengira bangsa menganggap setiap anak sebagai anugerah
dan sikap ini membantu wanita terhindar daripada masalah kemurungan postpartum.
Ini juga sebabnya setiap pasangan disaran merancang keluarga — bukan sekadar
memberi peluang anak membesar dengan baik, tetapi membolehkan isteri mendapat
rehat secukupnya.
Wanita yang pernah
menghadapi masalah skizofrenia juga berisiko tinggi mengalami kemurungan
postpartum. Bagi kes sebegini, pesakit disaran supaya sentiasa mengambil ubat.
Bagaimanapun,
pengambilan ubat dihentikan pada trimester pertama untuk mengelak kesan
sampingan kepada bayi.
Rawatan
Menurut Dr Nor Hamidah,
jenis rawatan tertakluk kepada keadaan setiap pesakit. Namun secara purata
pesakit perlu menjalani rawatan dan mengambil ubat antara enam bulan hingga dua
tahun. Pesakit akan diberi ubat anti kemurungan atau antipsikotik — tertakluk
kepada masalah setiap individu.
Selain itu, sokongan
suami boleh menjadi penawar. Justeru, beliau menyarankan setiap pasangan
membuat persediaan mental dan fizikal sebelum merancang menimang cahaya mata.
Menjarakkan kehamilan
sekurang-kurangnya dua tahun juga amalan baik untuk memberikan badan wanita
pulih secukupnya selepas bersalin kali pertama.
“Suami harus bersedia
memikul tanggungjawab. Turunlah ke dapur menyediakan makanan untuk isteri.
Dalam keadaan hidup sekarang, tidak ramai ibu boleh datang menemankan anak
mereka sepanjang tempoh berpantang. Sebagai persediaan, belajar ilmu
keibubapaan.
“Suami juga perlu faham
perubahan yang berlaku pada isteri. Jika berkemampuan, dapatkan pembantu untuk
menjaga anak supaya isteri boleh berehat dan menenangkan fikiran. Mempelajari
kaedah menangani tekanan juga boleh membantu masalah ini,” katanya
No comments:
Post a Comment