Rasulullah
s.a.w. telah bersabda, "Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis
kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu kembali ke tempat asalnya."
Dalam sebuah kitab Daqa'iqul Akhbar menerangkan bahawa akan didatangkan seorang
hamba pada hari kiamat nanti, dan sangat beratlah timbangan kejahatannya, dan
telah diperintahkan untuk dimasukkan ke dalam neraka. Maka salah satu daripada
rambut-rambut matanya berkata,
"Wahai Tuhanku, Rasul Engkau Nabi
Muhammad s.a.w. telah bersabda, sesiapa yang menangis kerana takut kepada Allah
s.w.t., maka Allah s.w.t. mengharamkan matanya itu ke neraka dan sesungguhnya
aku menangis kerana amat takut kepada-Mu."
Akhirnya Allah s.w.t. mengampuni hamba itu dan menyelamatkannya dari api neraka
dengan berkat sehelai rambut yang pernah menangis kerana takut kepada Allah
s.w.t. Malaikat Jibril a.s. mengumumkan, telah selamat Fulan bin Fulan sebab
sehelai rambut."
Dalam sebuah
kitab lain, Bidayatul-Hidayah, diceritakan bahawa pada hari kiamat nanti, akan
didatangkan neraka jahanam dengan mengeluarkan suaranya, suara nyalaan api yang
sangat menggerunkan, semua umat menjadi berlutut kerana kesusahan
menghadapinya. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud, "Kamu lihat (pada
hari itu) setiap umat berlutut (yakni merangkak pada lututnya). Tiap-tiap
umat diseru kepada buku amalannya. (Dikatakan kepadanya) Pada hari ini
kamu dibalasi menurut apa-apa yang telah kau kerjakan." (Surah
al-Jatsiyah ayat 28)
Sebaik sahaja mereka menghampiri neraka, mereka mendengar kegeraman api neraka
dengan nyalaan apinya, dan diterangkan dalam kitab tersebut bahawa suara
nyalaan api neraka itu dapat didengar sejauh 500 tahun perjalanan. Pada waktu
itu, akan berkata setiap orang hingga Nabi-nabi dengan ucapan, "Diriku,
diriku (selamatkanlah diriku Ya Allah) kecuali hanya seorang nabi sahaja yang
akan berkata, "Umatku, umatku."
Beliau ialah junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w. Pada masa itu akan
keluarlah api neraka jahim seperti gunung-gunung, umat Nabi Muhammad s.a.w.
berusaha menghalanginya dengan berkata, "Wahai api! Demi hak orang-orang
yang solat, demi hak orang-orang yang ahli sedekah, demi hak orang-orang yang
khusyuk, demi hak orang-orang yang berpuasa, supaya engkau kembali."
Walaupun dikata demikian, api neraka itu tetap tidak mahu kembali, lalu
malaikat Jibril berkata, "Sesungguhnya api neraka itu menuju kepada umat Muhammad
s.a.w." Kemudian Jibril membawa semangkuk air dan Rasulullah s.a.w. meraihnya.
Berkata Jibril a.s. "Wahai Rasulullah, ambillah air ini dan siramkanlah
kepadanya." Lalu Baginda s.a.w. mengambil dan menyiramkannya pada api itu,
maka padamlah api itu. Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun bertanya kepada Jibril
a.s. "Wahai Jibril, Apakah air itu?" Maka Jibril berkata,
"Itulah air mata orang derhaka di kalangan umatmu yang menangis kerana
takut kepada Allah s.w.t. Sekarang aku diperintahkan untuk memberikannya
kepadamu agar engkau menyiramkan pada api itu." Maka padamlah api itu
dengan izin Allah s.w.t.
Telah bersabda Rasulullah s.a.w., " Ya Allah anugerahilah kepada kami dua
buah mata yang menangis kerana takut kepada-Mu, sebelum tidak ditemunya air
mata."